PUTRAJAYA, 12 Jun-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berharap isu tertangguh seperti perjanjian air dan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura dapat diselesaikan sebelum Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura hujung tahun ini.
Meskipun sedikit rumit, Anwar berkata, sekiranya isu berkenaan selesai segera, ia akan memberi banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Beliau turut memberi jaminan kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bahawa Malaysia akan cuba mempercepatkan proses berkenaan.
"Saya bagi jaminan kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bahawa saya akan pastikan pegawai kita bekerja lebih pantas sekiranya boleh dan jika tidak, mereka perlu kemukakan kepada perhatian saya.
"Ia akan menjadi hebat jika kita dapat selesaikan sebelum mesyuarat dua hala menjelang akhir tahun ini", ujar Anwar.
"Kami berharap sekurang-kurangnya walaupun tidak dapat diselesaikan sepenuhnya (isu tertunggak) tetapi dapat melihat kemajuan yang sangat baik ketika Sesi Pemukiman Pemimpin akan datang", katanya demikian
pada sidang media bersama rakan sejawatnya, Lawrence di Kompleks Seri Perdana pada Rabu sempena lawatan kerja sulung beliau ke Malaysia.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Sebelum itu, kedua-dua pemimpin itu mengadakan perjumpaan lebih satu jam untuk berbincang mengenai langkah bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Lawrence berkata, pertemuan lebih sejam bersama Perdana Menteri adalah peluang baik untuk mereka menyentuh perkara terbabit.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk datang ke Malaysia pada bila-bila masa bagi membantu mempercepatkan penyelesaian isu tertunggak tersebut