PUTRAJAYA, 25 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi taklimat pra persidangan Dewan Rakyat di Seri Perdana pagi tadi.
Sesi berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan yang lain.
Terdahulu, beberapa menteri dan timbalan menteri Kabinet serta Ahli Parlimen memasuki Kompleks Seri Perdana bermula pukul 9.30 pagi.
Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 akan bermula dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sesi itu akan berlangsung selama 19 hari bermula esok sehingga 27 Mac ini.
Antara yang dijangka menjadi tumpuan pada sesi kali ini ialah mengenai Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 dan Pindaan Perlembagaan Berkaitan Soal Kewarganegaraan.