fb fb fb fb fb

Anwar bertemu dengan 7 atlet wira negara

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Parlimen berkesempatan bertemu dengan tujuh wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata kunjungan hormat itu dihadiri Lee Zi Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Cheah Liek Hou, Bonnie Bunyau Gustin, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard.

Kesemua mereka telah memenangi pingat di Paris dalam acara sukan masing-masing.

"Saya berbangga dengan pencapaian hebat ini dan terkesan mendengar pengalaman mereka yang bermula di bangku sekolah dan gigih berusaha memecahkan tembok-tembok halangan untuk bergelar atlet bertaraf dunia serta menyatukan rakyat Malaysia dengan kejayaan kalian.

"Saya juga kagum mendengar perkongsian pengalaman saudara Wooi Yik yang sanggup menahan sakit akibat jari kakinya retak dan membengkak selama 74 minit sepanjang perlawanan penentuan pingat gangsa di Paris.

"Terima kasih atas kekentalan jiwa dan pengorbanan ini demi memastikan bendera Malaysia berkibar di Paris," katanya.

Menerusi pertemuan itu, Anwar turut menzahirkan iltizam kerajaan untuk terus memperhebat pembangunan sukan negara, khususnya menerusi peruntukan lebih RM230 juta dalam Belanjawan 2025.

"Peruntukan ini antaranya untuk program podium, latihan atlet dan Road to Gold; persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025; kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara; serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan NGO," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM