fb fb fb fb fb

Anutin Charnvirakul hadiri majlis menandatangani deklarasi bersama Thailand–Kemboja

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul/REUTERS

KUALA LUMPUR, 25 Oktober -Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul akan menghadiri majlis menandatangani Joint Declaration for Thailand–Cambodia Relations yang bakal disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, esok.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, pihaknya sedang menyusun jadual rasmi ketibaan Perdana Menteri Thailand yang dijangka tiba lewat malam ini atau awal pagi esok sebelum majlis berlangsung.

"Perdana Menteri Thailand akan hadir, dan setakat ini beliau sangat berkemungkinan berada di sini. Kami sedang menyusun jadual rasminya ketika ini beliau mungkin tiba lewat malam ini atau awal pagi esok sebelum majlis menandatangani perjanjian berlangsung. Namun, beliau perlu segera bergegas pulang ke Thailand bagi menghadiri istiadat pengebumian Permaisuri Agong Thailand. Jadual itu masih dimuktamadkan, tetapi besar kemungkinan beliau akan sempat hadir untuk majlis berkenaan," katanya dalam satu sidang media khas, di sini.

Nikorndej Balankura turut memuji peranan Amerika Syarikat dalam menyokong usaha keamanan serantau, sambil menzahirkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump atas komitmen yang diberikan terhadap proses perdamaian tersebut.

Majlis menandatangani perjanjian itu dijangka menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan keselamatan antara Thailand dan Kemboja.

Jelasnya, Perdana Menteri Thailand memohon agar sesi tersebut untuk diadakan lebih awal sekitar pukul 12.00 tengah hari esok.

Bagaimanapun masa akan diselaraskan semula selepas perbincangan dengan Amerika Syarikat, Malaysia dan Kemboja kerana beliau perlu menghadiri istiadat pengebumian Bonda Ratu Thailand selepas itu.

TETITIA YUSOFF