fb fb fb fb fb

Malaysia berhasrat perluas akses pasaran produk pertanian ke Brazil

Foto fail/BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Oktober -Malaysia menyatakan hasrat untuk memperluaskan akses pasaran bagi produk tempatan ke Brazil merangkumi produk ayam dan daging bernilai tambah, telur cecair, makanan haiwan peliharaan serta vaksin haiwan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia berharap pihak Brazil dapat memberikan pertimbangan positif terhadap permohonan tersebut bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala dalam sektor pertanian.

“Selain itu, Malaysia turut menyatakan minat untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan varieti baharu tanaman seperti jagung bijian dan kelapa bagi meningkatkan hasil dan kecekapan pengeluaran tempatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu perkara tersebut disentuh dalam pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Menteri Pertanian dan Ternakan Brazil Carlos Fávaro, semalam.

Kunjungan hormat itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan Fávaro ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN.

“Kunjungan ini diyakini dapat membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Brazil di samping meningkatkan perdagangan, pelaburan serta pertukaran kepakaran dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Pertemuan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan potensi kerjasama dalam bidang agromakanan serta memperluas kolaborasi dalam teknologi pertanian, termasuk peluang penyelidikan dan pembangunan bersama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Brazilian Agricultural Research Corporation (Embrapa),” menurut kenyataan itu.

Pada tahun lepas, nilai perdagangan dua hala dalam sektor pertanian antara Malaysia dan Brazil telah mencecah RM8.36 bilion.

Daripada jumlah tersebut eksport Malaysia direkodkan sebanyak RM880 juta, yang merangkumi pelbagai produk makanan dan bahan berasaskan pertanian.

Import utama Malaysia dari Brazil terdiri daripada gula, produk berasaskan gula dan madu, produk makanan dan bahan berasaskan pertanian termasuk produk daging yang menjadikan Brazil antara rakan dagang penting Malaysia dalam sektor komoditi pertanian.

TETITIA YUSOFF