fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia nikmati perayauan data lancar, kadar berpatutan di Timor-Leste

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Rakyat Malaysia kini dapat menikmati kemudahan perayauan data (data roaming) yang lebih lancar dan berpatutan di Timor-Leste hasil inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menerusi satu kenyataan hari ini, bermula 17 Oktober lepas, pengendali utama CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile telah mengaktifkan perkhidmatan berkenaan, manakala YTL Communications menawarkan kemudahan sama bermula semalam.

"Langkah itu bagi memastikan rakyat Malaysia di Timor-Leste menikmati capaian data 4G yang stabil pada kadar setanding dengan negara anggota ASEAN lain.

"Kejayaan itu juga hasil kerjasama erat MCMC dan Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste bersama penyedia telekomunikasi utama negara itu Telkomcel, Telemor dan Timor Telecom," menurut kenyataan tersebut.

Inisiatif ini sejajar dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang menumpukan kepada keterangkuman, kelestarian dan keterhubungan digital di seluruh rantau.

Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN yang memperkukuh semangat perpaduan dan keterhubungan digital serantau.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kekal komited menyokong usaha memperkukuh integrasi serantau selaras dengan tema membentuk masa depan digital bersama kepada semua rakyat ASEAN.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN