fb fb fb fb fb

Anjur jelajah bersama KPM, tingkat kesedaran kanak-kanak guna media sosial - Fahmi

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 29 Mac- Kementerian Komunikasi bercadang untuk mengadakan jelajah bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman berhubung keselamatan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pihaknya juga akan meneliti langkah-langkah yang perlu dalam memastikan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

Usaha itu berikutan ramai ibu bapa kurang cakna tentang had umur asas untuk memiliki akaun media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook.

"Kita berhasrat untuk bekerjasama dengan beberapa pihak dan mengusahakan satu jerayawara ataupun jelajah memberi kesedaran dan kefahaman dalam kalangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) khususnya guru-guru dan para murid."

"Mereka yang berada di bangku sekolah bermula dari Darjah Satu hingga Darjah Enam, tidak boleh memiliki akaun TikTok. Ini sebenarnya melanggar asas panduan komuniti bagi platform media sosial tersebut," kata Fahmi kepada pemberita selepas melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena bulan puasa bertemakan 'Indahnya Ramadan', di sini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan 1,000 pek makanan kepada orang ramai pada program tersebut.

Sementara itu, kabinet sedang meneliti dan mengkaji beberapa cadangan berhubung pemberian peruntukan kepada pembangkang.

"Langkah seterusnya adalah membawa beberapa cadangan itu kepada Majlis Pimpinan Kerajaan Madani melibatkan ketua-ketua parti komponen."

"Kemudian, selepas itu sekiranya perbincangan dengan pihak pembangkang berjalan dengan baik akhirnya kembali kepada kabinet untuk diputuskan," tambah Fahmi.

Fahmi Fadzil menegaskan tiada draf peruntukan pembangkang seperti yang didakwa sebelum ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM