PUTRAJAYA, 19 September- Anjing Pengesan 'Blake' milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa ditidurkan pada jam 4.38 petang semalam (18 September 2023) selepas dikesan menghidapi barah limfoma.
Anjing itu telah disahkan menghidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu dan dimasukkan ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 September apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing tersebut.
Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing berkenaan gagal memberi respon kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar malah barah limfoma yang dikesan juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan membesar.
Hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, pihak Jabatan telah bersetuju untuk menidurkan anjing itu kerana kesihatannya merosot secara mendadak, tiada harapan dipulihkan serta mengelakkannya menderita dari kesakitan.
Blake yang berusia 7 tahun itu merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017.
Sepanjang enam tahun berkhidmat, Blake telah banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa tanah runtuh di Batang Kali, kejadian lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Telemong, Karak di Pahang.
(Foto JBPM)