fb fb fb fb fb

Anita Yusof takluki benua paling ekstrem di dunia

Anita Yusof ketika berada di Damoy point, Antartika. ( Gambar ihsan Anita Yusof)

TANJUNG MALIM, 14 Mac -Pengembara solo wanita negara, Anita Yusof, 57, sekali lagi mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menjejakkan kaki ke Antartika dalam misi jelajah dunia Global Dream Ride 2.

Anita, yang juga Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memulakan ekspedisi bermotosikal, di benua paling selatan itu selama 17 hari, bermula dari 15 Januari hingga 31 Januari 2025.

Menurut Anita menerusi perkongsian di media sosial, ekspedisi tersebut bukan sekadar untuk memenuhi impian peribadi, tetapi juga untuk membuktikan bahawa wanita mampu menakluk dunia dengan keberanian dan setanding dengan lelaki.

Anak bongsu daripada tiga beradik kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, perjalanan ke sana bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia terpaksa mengharungi cabaran getir ketika merentasi Drake Passage, salah satu laluan laut paling berbahaya di dunia.

Anita turut menceritakan pengalaman menempuh laut bergelora ketika menaiki kapal layar sepanjang 50 meter menuju ke Antartika.

"Berbeza dengan kapal persiaran besar yang lebih stabil, perjalanan menggunakan kapal layar memberi kesan besar terhadap keadaan kapal, terutama ketika perairan itu bergelora.

"Semasa dalam perjalanan, kapal saya terperangkap dalam siklon. Ia sangat menakutkan. Kapal terhuyung-hayang tanpa belas kasihan.

"Pinggan mangkuk di dapur yang sudah dipasang kemas pun berterbangan, dan saya mengalami mabuk laut yang teruk sehingga membawa kepada tekanan perasaan," katanya.

Menurut Anita, pengembaraan tersebut memakan masa lima setengah hari, dengan 75 peratus daripadanya berada dalam keadaan laut bergelora, menjadikannya antara cabaran paling sukar sepanjang Global Dream Ride 2.

Namun, beliau menegaskan meskipun keadaan fizikal dan mentalnya benar-benar teruji sepanjang perjalanan itu, tetapi dia bertekad untuk menyempurnakan misi berkenaan.

"Segala kesulitan itu terubat dengan keindahan luar biasa Antartika, yang saya gambarkan sebagai tempat paling indah pernah saya jejaki.

"Saya sudah menjelajah ke seluruh dunia dua kali, tetapi tiada apa yang dapat menandingi kecantikan Antartika. Ia begitu magis, terutama apabila cuaca baik. Terlalu cantik," katanya.

Anita turut menekankan kepentingan menjaga kelestarian benua putih itu dengan menghormati hidupan liar seperti penguin, burung laut, dan singa laut.

Beliau berkata, pelancong tidak dibenarkan menyentuh haiwan atau membawa pulang sebarang objek, termasuk batu, sebagai cenderamata.

Selain keindahan landskapnya yang luar biasa, Anita turut berkongsi pengalamannya melihat fenomena semula jadi yang menakjubkan, termasuk gunung ais raksasa yang berubah warna mengikut cahaya matahari serta ketenangan luar biasa yang jauh daripada hiruk-pikuk dunia.

"Di Antartika, tiada pencemaran bunyi, tiada manusia yang menetap secara kekal. Ia benar-benar tempat yang membuatkan saya berasa begitu kecil di hadapan kebesaran alam semesta," ujarnya lagi.

Anita berharap pengalamannya ini dapat menjadi inspirasi kepada golongan wanita dan rakyat Malaysia secara keseluruhan agar tidak takut mengejar impian, walaupun kelihatan mustahil.

Dia turut berhasrat untuk menulis buku mengenai pengalamannya di Antartika serta menganjurkan sesi perkongsian bagi memberi gambaran lebih mendalam tentang cabaran dan keindahan benua putih itu.

"Perjalanan ini mengubah perspektif saya tentang kehidupan dan alam. Saya ingin berkongsi pengalaman ini dengan masyarakat supaya mereka lebih menghargai dunia yang kita diami," katanya.

Hakikatnya kejayaannya Anita itu, membuktikan bahawa wanita juga mampu berjaya seperti kaum lain, selaras tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025, yang disambut pada 8 Mac lalu, Wanita Beraspirasi, Membina Legasi.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Anita Yusof sebagai alumni UPSI yang berjaya mencipta sejarah tersendiri dalam dunia pengembaraan solo.

“Pencapaian Anita Yusof ini bukan sahaja membanggakan UPSI sebagai institusi akademik yang melahirkan individu berkaliber, tetapi juga menjadi inspirasi kepada pelajar dan graduan universiti ini.

Kami berharap kejayaan beliau akan membuka mata lebih ramai anak muda untuk berani mengejar impian mereka,” ujar beliau.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD