PUTRAJAYA, 14 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemeriksaan terhadap 308 premis pengilang dan pembungkus yang disyaki mencampur beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import (BPI) menerusi Ops Campur.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, sebanyak 99 kertas siasatan telah dibuka untuk siasatan lanjut.
"Bahagian penguat kuasa telah menjalankan pemeriksaan di premis pengilang dan pemborong dengan 99 sampel beras telah diambil setakat ini. Daripada jumlah itu, 17 sampel telah dihantar kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk analisis.
"Sekiranya hasil analisis mengesahkan kewujudan DNA beras tempatan dalam sampel tersebut, tindakan lanjut akan diambil termasuk tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di sini hari ini.
Ops Campur dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan perihal dagangan palsu.
Sebelum ini, MARDI menerusi Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi mendedahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus BPI daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan BPT.