KAHERAH, 23 Oktober- Golongan muda harus mempersiapkan diri dengan mengangkat darjat martabat ummah menerusi kekuatan akidah, akhlak dan sahsiah kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu meliputi keterampilan, disiplin serta ilmu dalam pelbagai bidang.
"Bila hilang kemanusiaan tentunya tidak terangkat insaniah dan ini cabaran bagi kita dan pemimpin-pemimpin Islam yang prihatin. Saya lihat memang terkesan sekali dengan apa yang berlaku kerana kekuatan ekonomi teknologi bukan di tangan kita," katanya dalam Majlis Ramah Mesra bersama 1,200 mahasiswa dan rakyat Malaysia di Mesir.
Anwar turut menegaskan, serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza perlu dihentikan segera kerana ia lebih membawa banyak kehancuran dan kemusnahan terutamanya menjejaskan golongan wanita dan kanak-kanak.
Keengganan negara-negara barat untuk menjamin penyaluran makanan dan ubat-ubatan di Gaza juga membuatkan beliau bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara Islam bagi meredakan tekanan terhadap rakyat Palestin.
Turut hadir Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di Kaherah.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Sementara itu kelantangan dan usaha perdana menteri bertemu dengan pemimpin Islam mendapat sokongan penuh daripada diaspora Malaysia di Mesir.
Mereka menghadiri Majlis ramah mesra di Hotel Four Seasons, Kaherah turut mengecam tindakan rejim zionis Israel yang menindas rakyat Palestin.
Bagi Shairan Nazim Shahrul Anuar, "hari ini saya sangat gembira peluang bertemu dengan perdana menteri ianya seperti permata yang bernilai.
"Saya rasa betul-betul perkara yang luar biasa bagi seorang perdana menteri yang bersungguh-sungguh menyelesaikan isu di Gaza."
Menurut Azuam Mashud yang ditemui RTM, "kita lihat berlakunya peperangan dekat Palestin ini, merupakan langkah terbaik untuk golongan Islam lebih ke depan dan kita dapat tunjukkan bahawa Islam ini tidak lemah yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ini mungkin permulaan kebangkitan negara Islam."
Mereka juga teruja dengan kesudian perdana menteri meluangkan masa menjawab soalan-soalan yang diutarakan dalam Majlis ramah mesra tersebut walaupun beliau terikat dengan jadual yang padat.