fb fb fb fb fb

Angkasapuri Kota Media langkah strategik rangsang perkembangan industri penyiaran negara

KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Pembangunan Angkasapuri Kota Media yang sebelum ini dikenali sebagai Media City merupakan antara langkah strategik kerajaan untuk merangsang perkembangan industri penyiaran negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan perasmian kompleks baharu RTM itu, langkah susulan dapat dibuat supaya standard penyiaran Malaysia tidak ketinggalan serta setanding dengan standard amalan di rantau ASEAN dan antarabangsa.

"Selain itu, peningkatan persaingan dengan bertambahnya penyiar dan pemain industri akan menggalakkan kerjasama yang dapat membangunkan kreativiti dan mewujudkan persaingan sihat dalam penerbitan kandungan.

Peranan RTM sebagai media rasmi Kerajaan menjadi lebih dinamik berdasarkan teknologi dan kemudahan yang dimilikinya selain menjadi peneraju serta teladan kepada penyiar lain dalam menyampaikan mesej Kerajaan kepada rakyat," katanya ketika berucap merasmikan kompleks tersebut di sini.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba pada majlis perasmian
Kompleks Angkasapuri Kota Media di sini)

Tambah beliau, Angkasapuri Kota Media juga berupaya meningkatkan keupayaan RTM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain, mengekalkan ideologi dan budaya Malaysia seperti peranan yang dipikul oleh penyiar kebangsaan lain di rantau ini termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Pada majlis perasmian itu, Datuk Seri Ismail Sabri turut memasyhurkan nama-nama jalan di sekitar kompleks berkenaan sebagai Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi serta Bulatan Simfoni.

Media Baharu