fb fb fb fb fb

Anggota TUDM hilang seminggu selepas mandi sungai

Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, yang bertugas di Pangkalan Udara Subang

KUALA LUMPUR, 1 September – Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan hilang lebih seminggu lalu selepas kali terakhir dilihat mandi di Sungai Kedondong dekat sini pada 23 Ogos lalu.

Mangsa, Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, yang bertugas di Pangkalan Udara Subang difahamkan sedang mengikuti kursus penyelia pengangkutan kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT), TUDM Bandar Kinrara, Puchong.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kali terakhir mangsa dilihat pada pukul 4.30 petang ketika mandi bersama tiga rakannya yang juga anggota TUDM sebelum dikesan berseorangan selepas itu.

“Keesokan harinya, kira-kira pukul 6 petang, rakan sebilik kursus cuba menghubungi mangsa namun gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan.

"Anggota TUDM dari INSMAT kemudian membuat laporan polis pada 25 Ogos pada 4.16 petang selepas mendapati mangsa tidak melapor diri ke institut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, mangsa berkulit cerah, berambut pendek lurus dan berketinggian kira-kira 175 sentimeter.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan individu ini diminta menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Sukri Che Mat di talian 03-80762222 atau 03-80713136,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN