fb fb fb fb fb

SPRM siasat 14 syarikat import tembakau disyaki salah guna lesen

SPRM membongkar modus operandi syarikat yang menggunakan lesen sah untuk melindungi aktiviti haram termasuk penukaran kod kastam dan melibatkan ejen penghantar tidak berlesen.

PUTRAJAYA, 1 September - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Bahagian Operasi Khas sedang menyiasat 14 syarikat yang memiliki lesen import sah produk tembakau, rokok dan cerut kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan lesen serta pengisytiharan palsu.

Antara modus operandi yang dikenal pasti termasuk menggunakan lesen syarikat sah sebagai perlindungan kepada aktiviti haram, menukar kod kastam atau butiran barangan bagi mengelak pembayaran cukai sebenar serta melibatkan ejen penghantar yang tidak mempunyai lesen lengkap untuk membawa masuk tembakau dan cerut.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata kes seperti ini menjadi fokus siasatan kerana ia menjejaskan hasil negara yang sepatutnya dimanfaatkan rakyat dan pembangunan negara.

“SPRM tidak akan berkompromi dalam isu rasuah, pengubahan wang haram atau penyeludupan,” tegasnya.

Siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan turut melibatkan penyeludupan rokok, cerut, tembakau serta minuman keras yang disimpan dalam gudang persendirian sebelum diedarkan ke pasaran.

Kerajaan dianggarkan mengalami kerugian hasil cukai melebihi RM250 juta antara tahun 2020 hingga 2024 hanya daripada tembakau dan cerut, manakala jumlah kerugian keseluruhan dipercayai lebih besar.

Setakat ini, SPRM telah membekukan akaun perbankan individu dan syarikat bernilai kira-kira RM218 juta serta menggantung lesen import beberapa pihak yang terlibat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN