fb fb fb fb fb

Anggota tentera, isteri maut motosikal rempuh belakang jip ATM

SUNGAI PETANI, 14 September - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang mereka melanggar sebuah trak ringan tentera lalu terbakar dalam kejadian di kilometer 87.0 Lebuhraya Utara Selatan PLUS arah selatan berhampiran Gurun, hari ini.

Mangsa Ridzuan Salleh@Ramli, 42, yang juga seorang anggota tentera maut di lokasi kejadian dan isterinya, Rosmawati Ismail, 39, meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 2.20 petang itu, Ridzuan yang berpangkat koperal mengalami kesan kecederaan melecur di bahagian badan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa bergerak laju dari arah Alor Setar menghala ke arah Butterworth, hilang kawalan lalu melanggar belakang trak tentera.

"Impak perlanggaran yang kuat telah menyebabkan motosikal terbakar di tengah laluan jalan dan motosikal turut mengalami kerosakan di pelbagai bahagian," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Zaidy, pemandu jip berusia 28 tahun dan penumpangnya berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah, Mohd Fauzi Razali berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pukul 2.01 petang.

Tambah Fauzi, pasukan operasi terdiri 7 anggota memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan operasi memadam kebakaran dapat dikawal 2.49 petang.

Media Baharu