GOMBAK, 6 Februari- Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terkorban dalam nahas jalan raya di kilometer 13, Lingkaran Karak, berhampiran sebuah stesen minyak menghala ke Plaza Tol Gombak ketika mengejar seorang pesalah trafik.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Azizi Azizan berusia 30-an sedang bertugas dalam Ops Motosikal yang dilaksanakan di lokasi tersebut sebelum seorang penunggang motosikal bertindak melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
Mangsa yang juga menunggang motosikal cuba mengejar suspek yang memecut secara melawan arus.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa terbabas dan jatuh sebelum dirempuh sebuah kenderaan yang gagal mengelak.
Mangsa yang bertugas sebagai Pembantu Penguatkuasa di JPJ Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.