fb fb fb fb fb

Andalusia julung kali tawar pakej umrah dalam bulan Zulhijjah

SEPANG, 24 Julai- Buat julung kalinya, pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) membuat penerbangan pertama jemaah umrahnya dalam bulan Zulhijjah bagi tahun 1444 Hijrah.

Menurut Pengarahnya, Ida Riswana Idris, seramai 175 jemaah dibawa menggunakan visa pelancong menerusi penerbangan tersebut.

Beliau yang juga merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia berkata, inisiatif itu bagi memberi peluang kepada jemaah untuk mengerjakan umrah dalam suasana musim haji yang masih berlangsung di tanah suci.

Jelas Ida Riswana, penerbangan pertama berlepas secara terus ke Jeddah pada pukul 3.10 petang menggunakan pesawat Malaysia Airlines.

"Saya rasa pertama kali dalam sejarah, umrah pun kita bertembung dengan jemaah haji sebab tahun ini dibenarkan jemaah dengan visa pelancong masuk pada 16 Zulhijjah kalau tak silap saya dan jemaah dibenarkan mengerjakan umrah pada 29 Julai ini," katanya ketika ditemui selepas menghantar rombongan jemaah umrah pertama Andalusia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

(Ida Riswana Idris, Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia)

Secara keseluruhan, pihaknya menyasarkan untuk membawa 60,000 jemaah menunaikan umrah bagi musim 1444H.

Menyentuh mengenai persediaan menghadapi peningkatan jumlah jemaah selepas tempoh pandemik, pihaknya telah memajak tiga buah hotel di Makkah untuk kegunaan jemaah umrah Andalusia selain menambah jumlah petugas dan mutawif berpengalaman untuk membimbing para jemaah.

Andalusia juga turut menawarkan ziarah Taif secara percuma untuk setiap pakej umrah musim ini.

Media Baharu