fb fb fb fb fb

Andalusia - BSN tawar pakej pembiayaan peribadi tunai haji, umrah dan ziarah

KUALA LUMPUR, 23 November - Umat Islam kini berpeluang menunaikan ibadah haji, umrah dan ziarah dengan bayaran bulanan serendah 151 ringgit sebulan.

Ini menerusi pakej pembiayaan peribadi di bawah skim Islamik BSN MyRinggit-i yang diperkenalkan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris berkata skim pembiayaan berkonsepkan 'murabahah tawarruq' itu bertujuan menggalakkan lebih ramai umat Islam terutamanya golongan belia menunaikan ibadah haji dan umrah.

(Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris)

“Sekiranya dapat kelulusan pihak bank (BSN), bank akan mengagihkan kepada Andalusia untuk pembayaran umrah atau haji pelanggan, yang mana jemaah boleh pergi menunaikan ibadah berkenaan terlebih dahulu.

“Pada waktu itu mereka sudah mengetahui berapakah nilai bayaran bulanan yang perlu dibayar dan pembayaran boleh dibuat selepas mereka pulang daripada menunaikan ibadah, mengikut kontrak perjanjian dengan bank,” katanya dalam majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara BSN dan Andalusia, di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 1,500 permohonan setahun bagi pakej pembiayaan peribadi berkenaan.

(Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid)

"Skim ini paling penting adalah kita hendak menggalakkan golongan-golongan muda untuk menunaikan umrah dan haji," katanya.

Tambah Mujibburrahman, pemohon pakej pembiayaan berkenaan boleh membuat permohonan di bawah skim Islamik BSN MyRinggit-i dengan minimum RM10,000 hingga RM200,000 dalam tempoh minimum dua hingga 10 tahun.

“Sempena dengan pelancaran pakej terbaharu ini, pelanggan berpeluang untuk menikmati kadar menarik serendah 2.52 peratus tertakluk pada terma dan syarat, khusus untuk yang membuat permohonan sebelum 31 Disember 2022,” katanya.

Media Baharu