fb fb fb fb fb

Ancaman bom, KPM jamin keselamatan di semua institusi pendidikan

KPM memaklumkan, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya dan bekerjasama rapat dengan polis bagi tujuan tersebut / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 22 November - Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius ancaman keselamatan di beberapa sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat seperti yang dilaporkan oleh media.

KPM memaklumkan, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya dan bekerjasama rapat dengan polis bagi tujuan tersebut.

“Sebarang ancaman keselamatan perlu dilaporkan segera kepada polis dan KPM. Institusi pendidikan juga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” kata KPM menerusi kenyataan.

KPM turut meminta semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian untuk mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan.

KPM juga komited memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya terpelihara.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa sekolah swasta dan kerajaan iaitu tujuh di Selangor, Kuala Lumpur (lima), Johor (tiga), Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.

Hari ini, dua laporan polis diterima melibatkan sebuah sekolah antarabangsa di Kajang, Selangor dan Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN