fb fb fb fb fb

Anasir perkauman perlu ditolak, keharmonian negara mampu tarik pelabur

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Februari- Semua lapisan rakyat perlu menolak sebarang anasir dan cubaan melagakan masyarakat dengan memainkan isu perkauman.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perkara itu selari dengan prinsip 'Perpaduan dalam Kepelbagaian' yang menjadi teras kepada keharmonian masyarakat Malaysia.

"Kita dalam Malaysia kaya dengan kepelbagaian dan ini adalah aset yang kita mesti jaga bersama. Keharmonian adalah penting kerana pelabur tidak akan datang ke Malaysia sekiranya negara tidak harmoni.

"Ini adalah penting dan ia adalah semangat yang kita perlu serlahkan," katanya dalam ucaptama merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di ibu negara.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri berharap agar rakyat lebih matang dalam mendepani perbezaan pendapat serta kepercayaan, dengan mencari titik persamaan dalam mengekalkan keharmonian negara.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI