KUANTAN, 5 Mei - Seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pekan, Pahang yang dilaporkan hilang semalam, telah dijumpai pagi tadi dalam keadaan selamat di rumah saudaranya di Chukai, Terenganu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, polis telah mengesan keberadaan Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, di rumah saudaranya pada 7 pagi tadi.
" Kita telah jalankan siasatan dan menemuramah keluarga dia di Kuantan ini dan penuntut lelaki ini ada lari ke rumah keluarga dan alhamdulillah pagi tadi kita dapat mengesan penuntut ni, pukul 7 pagi tadi , " katanya.
Semalam, media melaporkan mangsa telah keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga, dipercayai kerana enggan kembali ke asrama.
Dia disedari hilang oleh ibunya kira-kira 4 petang semalam, selepas mendapati remaja itu tidak berada di dalam bilik tidur.
Siasatan polis mendapati mangsa sebelum ini pernah menyuarakan keengganan untuk pulang ke asrama kerana tidak sanggup berjauhan daripada keluarga.
Remaja itu turut membawa kasut sukan, beg galas sekolah dan wang tunai kira-kira 200 ringgit.