fb fb fb fb fb

Analisis PADU akan dikemuka kepada kerajaan

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

BUTTERWORTH, 24 Mac- Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berpendapat kadar pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) berada pada tahap 36 peratus disebabkan masyarakat masih tidak dapat melihat kesan ke atas sistem berkenaan.

Namun menurut beliau, analisis data sistem tersebut perlu dikemukakan kepada kerajaan bagi membolehkan sebarang tindakan untuk keselesaan rakyat dapat dilaksanakan.

Data tersebut sangat penting sebagai sumber rujukan kepada bantuan dan penambahbaikan yang akan dilakukan pada masa akan datang selain memudahkan kerajaan melaksanakan program bantuan bersasar.

"Rakyat sudah biasa melihat apabila ada inisiatif akan ada tindak balas serta merta. Misalnya selepas mendaftar apa yang akan diperoleh. Kita tak boleh menyatakan penghasilan serta-merta kerana kita perlu buat analisis terlebih dahulu.

"Kita perlu kemukakan analisis itu kepada kerajaan melalui kementerian untuk kita lihat perkara-perkara berkaitan bantuan-bantuan dan perkara-perkara boleh meningkatkan keselesaan rakyat," katanya dalam Program Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) Hour Mega di Dewan Terbuka Taman Tanjung Indah di sini.

Bagaimanapun beliau berharap lebih ramai rakyat mendaftar PADU menjelang tarikh akhir iaitu pada 31 Mac ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI