fb fb fb fb fb

Anak yatim 12 tahun terharu terima komputer riba

SIMPANG EMPAT, 3 Julai - Prihatin dengan nasib seorang pelajar, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyumbang bantuan komputer riba kepada Karen Soon Khar Xuan berusia 12 tahun, di Kampung Bunga Emas, di sini, pagi tadi.

Karen yang juga anak yatim dijaga oleh neneknya Khor Sock Nai, 67 tahun sejak usia 3 tahun lagi, selepas kematian bapanya kira-kira tiga bulan lalu.

ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, Karen kini sedang belajar dalam darjah 6 di SRJK (C) Simpang Empat memerlukan sumbangan itu untuk pembelajarannya.

"Bantuan komputer riba yang disumbangkan ini membolehkan Karen mengikuti kelas tuisyen secara dalam talian bersama rakan-rakan sekelas untuk meningkatkan lagi prestasi akademiknya.

"Karen mengalami sedikit cabaran kerana tidak memiliki komputer riba untuk mengikuti kelas secara dalam talian. Oleh itu, kami bersyukur kerana ada yang sudi menaja komputer riba kepadanya," kata beliau selepas mengunjungi rumah pelajar tersebut.

Karen akui gembira dan bersyukur kerana kini dia boleh belajar secara dalam talian di rumah tanpa mengeluarkan kos untuk kelas tambahan lain.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menguruskan bantuan yang bersesuaian untuk membantu Sock Nai dan cucunya.

Media Baharu