RANTAU PANJANG, 26 Oktober – Sebanyak 25 kawasan di sepanjang sempadan dari Jeli hingga ke Tumpat dikenal pasti agensi penguat kuasa di Kelantan yang kerap digunakan rakyat Malaysia dan warga asing untuk keluar masuk ke Thailand secara haram.
Lokasi berkenaan kini dipantau oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sebanyak 11 papan tanda amaran dipasang di sepanjang Sungai Golok, masing-masing enam di Rantau Panjang dan lima di Tumpat.
Operasi pemasangan yang bermula pukul 9.30 pagi itu disertai lebih 10 pegawai MKN serta anggota PGA. Antara lokasi terlibat ialah Kuala Jambu di Tumpat, Pengkalan Gergaji, Pengkalan Miji, Pengkalan Pok Dik dan Pengkalan Perdah 2 di Rantau Panjang.
Menurut MKN, operasi merobohkan 212 jeti haram di sepanjang sempadan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula esok.
Sementara itu, wakil penduduk kampung, Fadli Mat Yusof, 54, berkata walaupun tidak bersetuju, beliau tetap akur dengan keputusan kerajaan kerana langkah itu penting demi keselamatan dan kedaulatan negara.
“Laluan tu orang kata tradisi dah lama. Cuma apabila kerajaan buat macam ni, kita terpaksa akurlah. Pada asalnya, penduduk di sini tidak bersetuju, tetapi apabila mendapat arahan daripada kerajaan, bagi saya terpaksa akurlah,” katanya.
Beliau menambah, penduduk kini tidak lagi menghampiri kawasan berkenaan selepas papan tanda larangan dinaikkan.
Pada 21 Oktober lalu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, polis negeri akan meneruskan operasi merobohkan lebih 100 jeti haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Walaupun menerima pelbagai bentuk provokasi daripada pihak tertentu di Thailand, beliau menegaskan operasi berskala besar itu akan tetap dijalankan mengikut fasa di kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang.
