fb fb fb fb fb

Amaran hujan berterusan peringkat buruk, waspada hingga esok

PETALING JAYA, 25 Februari - Sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu petang ini, seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung.

Keadaan itu boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung hingga esok.

Sehubungan itu, Amaran Hujan Berterusan (Buruk dan Waspada) dikeluarkan bagi Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya lebih peka dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Amaran Hujan Berterusan (Buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60mm dalam tempoh 6 jam.

"Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku tempoh lebih 6 jam di satu-satu kawasan,' menurut kenyataan itu.

Media Baharu