PUTRAJAYA, 3 Januari - Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya, buruk dan waspada yang dijangka berlaku di kebanyakan negeri hingga Selasa.
Negeri terlibat adalah Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Amaran hujan lebat berterusan - peringkat BURUK dijangka berlaku di Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, selain seluruh Negeri Sembilan dan Melaka sehingga esok.
Ia turut melibatkan lima daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi serta Sabah iaitu di Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat.
Hujan berterusan - peringkat WASPADA dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh.
Situasi sama juga diramal berlaku di Pantai Barat Sabah iaitu Tuaran, Ranau dan Kota Belud serta di Sandakan dan Kinabatangan.
Di Perak melibatkan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Ia turut melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan berterusan sehingga esok.