(Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Suresh Kumar)
KUALA LUMPUR, 3 November- Amalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bagi mencegah jangkitan subvarian baharu Omicron, XBB.
Peringatan itu dikeluarkan Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Suresh Kumar.
Beliau berkata meskipun tiada bukti subvarian tersebut boleh menyebabkan sakit yang serius, ia boleh menjangkiti semua individu termasuk golongan telah menerima vaksin.
"Kumpulan berisiko untuk mendapat sakit lebih serius sama seperti dulu. Warga emas, individu dengan penyakit kronik macam kencing manis, darah tinggi, athma, individu yang obes, individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah seperti pesakit kanser, yang menjalani rawatan kemoterapi, HIV dan lain-lain.
"Orang berisiko tinggi kena berjaga-jaga. Semua orang memang risiko untuk dapat jangkitan memang lagi tinggi berbanding yang dulu. Jadi, kita kena amalkan semula SOP yang kita kena amal dulu iaitu pakai pelitup muka terutamanya di tempat yang sesak dan tempat yang sempit dan bertutup.
"Satu lagi kena amalkan penjarakan fizikal dan juga kena meningkatkan 'ventilation' atau pengudaraan...ini tiga perkara yang memang semua orang kena buat," katanya dalam rancangan terbitan RTM.
(Menurut Datuk Dr Suresh Kumar pengambilan vaksin terbukti dapat mengurangkan
risiko jangkitan COVID-19 yang teruk dan boleh membawa maut)
Dalam pada itu, katanya pengambilan vaksin terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk dan boleh membawa maut.
Terutama dalam melawan subvarian XBB.
Ini mengambilkira data kajian tahap keberkesanan vaksin di Singapura yang merupakan antara negara terawal diancam subvarian tersebut.
"Data dari Singapura menunjukkan bahawa vaksinasi masih memberikan perlindungan yang baik terhadap penyakit COVID-19 yang serius.
"Jadi, vaksin masih lagi berkesan...vaksin yang kita ada sekarang...kebanyakan vaksin yang kita sedia ada sekarang ialah MRNA vaksin Pfizer.
"Vaksin melindungi kita daripada mendapat simptom yang teruk serta kematian. Jadi walaupun kita mendapat COVID-19, sakit tidaklah begitu serius," jelasnya.