AMAL meterai kerjasama dengan 14 agensi umrah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 April AMAL, unit haji dan umrah bawah Malaysia Airlines, telah memeterai kerjasama strategik bersama 14 agensi umrah terkemuka di seluruh negara bagi musim Umrah 1448H, bermula dari Jun 2026 hingga Mac 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • AMAL menawarkan lebih 223,000 tempat duduk, peningkatan sekitar 10 peratus bagi meningkatkan akses dan menyokong permintaan ibadah umrah.
  • Kerjasama strategik dengan agensi terpilih membolehkan penyelarasan jadual penerbangan, peruntukan tempat duduk jelas dan ketelusan pengurusan pakej.
  • Operasi diperluas kepada beberapa penerbangan harian dan mingguan, disokong penilaian risiko rapi serta koordinasi bersama pihak berkuasa untuk keselamatan jemaah.

Ketua Pegawai Operasi Amal, Muhammad Najmi Mansor dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama itu sekali gus mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh jaringan strategik, selain meningkatkan pengalaman perjalanan jemaah dengan lebih lancar, boleh dipercayai dan tersusun rapi.

“Bagi musim 1448H akan datang, kami menawarkan lebih 223,000 tempat duduk, mencerminkan peningkatan kira-kira 10 peratus berbanding musim sebelumnya, seiring usaha kami meningkatkan akses dan menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan ibadah.

“Kerjasama itu juga membolehkan penyelarasan yang lebih baik antara Amal dan agensi terlibat termasuk penjadualan penerbangan yang lebih teratur dan peruntukan tempat duduk yang lebih jelas kepada ejen terpilih, sekali gus meningkatkan ketelusan dalam pengurusan pakej umra,” menurut kenyataan itu.

Setiap agensi dipilih berdasarkan rekod kebolehpercayaan yang terbukti, pematuhan terhadap standard peraturan, serta keselarasan dengan jangkaan tinggi Amal dari segi kualiti perkhidmatan dan integriti operasi.

Antara 14 agensi yang terlibat ialah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Dhia Travel Sdn. Bhd., Glocal Travel & Tours Sdn. Bhd., Hafiz Travel & Tours Sdn. Bhd., In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd., KRS Travel Sdn. Bhd., Maghfirah Travel & Tours Sdn. Bhd., MKM Ticketing Travel & Tours Sdn. Bhd..

Turut tersenarai ialah Qashwa Travel Sdn. Bhd., Rayhar Travels Sdn. Bhd., TH Travel & Services Sdn. Bhd., Tiram Travel & Tours Sdn. Bhd., Widad Tours & Travel Sdn. Bhd., serta Wira Saujana Travel & Tours Sdn. Bhd.

Sejak diperkenalkan, Amal telah berkembang daripada satu penerbangan harian ke Jeddah dan Madinah kepada tiga hingga empat penerbangan sehari, dengan hampir 190,000 jemaah diterbangkan pada tahun 2025.

Secara mingguan pula, operasi meningkat daripada lima hingga tujuh penerbangan kepada 18 hingga 22 penerbangan seminggu, termasuk penerbangan harian ke Jeddah dan Madinah.

Inisiatif itu turut sejajar dengan usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam memperkukuh tadbir urus industri umrah serta melindungi kepentingan jemaah Malaysia.

Sementara itu, AMAL turut menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan keselamatan operasi penerbangan ke Asia Barat melalui penilaian risiko yang rapi serta kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Semua keputusan operasi, termasuk laluan penerbangan, dibuat dengan koordinasi bersama pihak berkuasa berkaitan, dengan keselamatan dan kesejahteraan jemaah Malaysia sebagai keutamaan tertinggi,” tambah kenyataan itu.