KUALA LUMPUR, 8 Jun- Aliran trafik di lebuh raya utama menghala ke Lembah Klang mulai sesak setakat 4 petang tadi, susulan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Aidiladha.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik dari arah utara ke Lembah Klang di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan sesak di beberapa lokasi termasuk Permatang Pauh ke Juru, Jawi ke Bandar Baharu, Kuala Kangsar ke Terowong Menora dan Gopeng ke Tapah.
Katanya aliran trafik juga sesak dari Sungkai ke Trolak, Bukit Beruntung ke Sungai Buaya dan kawasan Rehat dan Rawat Rawang menuju Rawang.
"Aliran trafik dari arah selatan di lebuh raya PLUS pula sesak dari Pagoh ke Simpang Empat, Pedas Linggi ke Seremban, kawasan Rehat dan Rawat Seremban ke Nilai dan Plaza Tol Sungai Besi ke ibu kota," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Bagi aliran trafik dari arah timur ke Lembah Klang di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) kesesakan berlaku di Plaza Tol Karak menuju ke Lentang, Bukit Tinggi ke Terowong Genting Sempah dan Hentian Gombak menuju ke Plaza Tol Gombak.
Sementara itu di Kelantan aliran trafik bertambah dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang setakat tengah hari tadi bagaimanapun masih dalam keadaan terkawal.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata pihaknya menjangkakan aliran trafik akan terus meningkat menjelang petang, dan pemantauan secara berterusan sedang dijalankan oleh anggota yang bertugas.-BERNAMA