fb fb fb fb fb

Tiga syarikat telco jamin privasi data pelanggan selamat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Tiga syarikat telekomunikasi utama negara, CelcomDigi, TM dan U Mobile memberi jaminan privasi dan keselamatan data pelanggan akan terus dilindungi.

CelcomDigi dalam kenyataan berkata, segala urusan berkaitan penggunaan data pelanggan berada di bawah pengawasan Pegawai Perlindungan Data dan dilaporkan secara berkala kepada Lembaga Pengarah.

“Kami telah mengadakan perbincangan secara langsung dengan MCMC serta menyertai sesi libat urus industri yang lebih meluas bagi memastikan tadbir urus yang kukuh dalam penganalisisan data peribadi pelanggan. Kami juga akan terus memastikan proses serta kawalan sewajarnya sentiasa dilaksanakan,” kata syarikat itu dan menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan MCMC dalam menyokong inisiatif kerajaan tanpa menjejaskan integriti data pelanggan.

Sementara itu, Telekom Malaysia Berhad (TM) pula menjelaskan, semua data MPD yang dikemukakan kepada MCMC tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti.

“Pengemukaan data ini dilaksanakan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap dasar syarikat serta undang-undang dan peraturan kawal selia negara,” jelasnya dalam satu kenyataan.

TM turut menegaskan komitmennya dalam memastikan keselamatan dan privasi data pelanggan terus terpelihara dengan penuh tanggungjawab dan integriti.

Dalam kenyataan berasingan, U Mobile menegaskan, semua data yang dikongsi dengan MCMC telah dianonimkan dan diagregat sepenuhnya, serta dikendalikan mengikut undang-undang dan peraturan perlindungan data yang berkuat kuasa.

“Apabila kami berkongsi MPD dengan MCMC, tiada maklumat peribadi pelanggan yang boleh dikenal pasti akan diproses atau dikongsi pada bila-bila masa,” tegas syarikat itu.

U Mobile juga memberi jaminan bahawa ia kekal komited dalam melindungi privasi pelanggan serta mematuhi sepenuhnya semua peraturan berkaitan pengurusan data.

Terdahulu, MCMC menegaskan bahawa data telefon bimbit yang diperoleh daripada syarikat telekomunikasi tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi dan hanya digunakan bagi tujuan penghasilan statistik rasmi negara.

Menurut MCMC, data yang dikumpul telah dinyahidentiti sepenuhnya dan tidak membolehkan mana-mana individu dikenal pasti, sekali gus menepis kebimbangan orang ramai berhubung isu pelanggaran privasi.

SITI NOORAIN ABDULLAH