fb fb fb fb fb

'Alasan tak tahu, tidak akan diterima dan kekal kena tindakan' - KPDNHEP

KUALA LUMPUR, 1 Sept - 'Alasan tidak tahu, tidak akan diterima, dan kekal dikenakan tindakan.'

Itu tegas Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam yang merujuk para peniaga sekiranya gagal meletakkan tanda harga pada barang yang dijual di premis mereka.

Jelas beliau, tanda harga penting penting bagi memastikan peniaga mematuhi harga siling ayam, telur dan minyak masak yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Pegawai-pegawai kita, penguat kuasa KPDNHEP dan pemantau harga juga akan memastikan mereka ini akan sentiasa mematuhi undang-undang yang kita tetapkan.

"Tetapi, sekiranya kita dapati peniaga-peniaga ini sengaja menggunakan alasan tidak tahu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada RTM.

(Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) Azman Adam/FOTO fail FB KPDNHEP)

Tambah beliau, pengekalan harga siling ayam, telur dan minyak masak adalah bagi menjamin kestabilan harga barangan di pasaran sekali gus membantu menangani masalah kos sara hidup.

Peniaga disaran sentiasa merujuk pengumuman rasmi kerajaan melalui laman web rasmi kementerian sebelum meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Katanya, peniaga yang gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual merupakan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Bagi Bukan Pertubuhan Perbadanan (Individu) boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali manakala kompaun maksimum RM 25,000.

Bagi Pertubuhan Perbadanan (Syarikat) boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan kompaun maksimum RM50,000.

Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui:

1.Talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC)
2. Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 1-800-886-800
3. Aplikasi telefon pintar Ez ADU
4. Emel ke alamat e-aduan[at]kpdnhep.gov.my
5. SMS ke 15888 dengan menaip “KPDNHEP ADUAN <butiran aduan>”
6. Lapor/hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

Media Baharu