fb fb fb fb fb

Alam Flora berwajah baharu, perkenal tiga inisiatif baharu

FOTO RTM

PUTRAJAYA, 17 Oktober- Alam Flora Sdn Bhd kini berwajah baharu dengan memperkenalkan tiga inisiatif baharu sejajar dengan komitmen syarikat terhadap meningkatkan taraf pengurusan sisa pepejal daripada segi kecekapan, keselamatan dan teknologi.

Inisiatif tersebut merangkumi penggunaan jentera baru, pengeluaran baju seragam yang lebih selamat dan aplikasi ‘Super-App Recyclink’.

Menurut Pengerusi Alam Flora, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, transformasi tersebut adalah sebahagian usaha menjadikan Malaysia negara yang lebih mesra alam dan mampan, sejajar dengan Sustainable Development Goals 11.

"Wajah baharu sama ada bentuk pakaian ataupun peralatan yang ada mestilah bersama dengan perubahan sikap dan tingkah laku yang perlu selari dengan visi dan misi syarikat ini," katanya.

Jelasnya lagi jentera baharu seperti lori kompaktor direka untuk meningkatkan kapasiti pengurusan sampah secara efisien, pakaian seragam baharu yang lebih selamat dikeluarkan sebagai penghargaan kepada pekerja serta mempertingkatkan taraf profesionalisme.

Tambahnya aplikasi ‘Super-App Recyclink’ merupakan platform yang bertujuan memupuk amalan kitar semula dalam kalangan orang ramai.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Badrulhisyam Fauzi, berkata kos sebanyak RM160 juta dikeluarkan bagi memastikan peralatan yang digunakan mencapai piawaian alam sekitar sedunia dan dapat mengurangkan jejak karbon.

Beliau berkata demikian pada pelancaran wajah baharu Alam Flora di Putrajaya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE