fb fb fb fb fb

Jawatankuasa khas dibentuk, kaji undang-undang Islam peringkat negeri

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang Islam di peringkat negeri sebagai usaha memperkasa institusi kehakiman Syariah di negara ini. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata jawatankuasa khas itu akan meneliti cadangan pindaan terhadap Akta 355 yang telah dibincangkan dengan pelbagai pihak berkepentingan. 

"Untuk mendapatkan pandangan terhadap pindaan yang dicadangkan, antaranya ialah sesi libat urus bersama dengan Ketua Hakim Syarie negeri-negeri, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, sesi libat urus bersama dengan Ketua Pendakwa Syarie dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, sesi libat urus bersama dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad di Dewan Rakyat hari ini. 

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyatakan bahawa pindaan Akta ini hendaklah dibuat dengan teliti supaya ia menjadi satu dokumen yang kukuh, disepakati oleh semua Negeri, Mufti dan Ulama ketika Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Julai lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE