fb fb fb fb fb

Rumah terbakar, dua beranak melecur tahap dua

Foto Hiasan

MELAKA, 17 Oktober- Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan ibunya melecur tahap dua selepas rumah mereka di Kampung Bukit Gedung, Tanjung Kling musnah terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.40 pagi itu, dua beranak itu dilaporkan melecur pada bahagian kaki serta tangan dan dikejarkan ke Hospital Melaka oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Tangga Batu Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Azuani Mat Yusuf berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 9.48 pagi.

Katanya, seramai 16 pegawai dan anggota termasuk pasukan bantuan daripada BPP Cheng bersama dua jentera dan EMRS dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi didapati sebuah rumah berkembar jenis separuh kekal dengan keluasan 40x40 kaki persegi sedang terbakar 90 peratus termasuk dua buah motosikal masing-masing jenis Yamaha Y15 dan Honda EX5," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kebakaran dipadamkan sepenuhnya sekitar 12.17 tengah hari dan punca kejadian masih dalam siasatan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI