KUALA LUMPUR, 8 April- Pemerkasaan pendidikan, kefahaman dan fikrah Islam yang dipelopori alumni Universiti Al-Azhar, Mesir begitu signifikan sebagai kubu pertahanan akidah umat Islam sejak berzaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tradisi dan sumbangan besar Al-Azhar Asy Syariff berjaya memartabatkan para ilmuwan Islam sekali gus diiktiraf di peringkat global.
Jelasnya, para ilmuwan Universiti Al-Azhar berupaya memperluas dakwah, mempertingkat kesedaran dan pengisian ilmu khususnya dalam kalangan masyarakat MADANI.
"Saya percaya dengan tradisi ilmu dan khazanah Al-Azhar serta sumbangan besar bukan sahaja di Malaysia, pendidikan Islam, kefahaman Islam, kesederhanaan Islam, fikrah Islam dipelopori alumni Al-Azhar seluruh dunia dapat mempertahankan kubu pertahanan aqidah dan mental umat sejak berzaman dan seantero dunia," kata Anwar semasa berucap secara maya bersempena Hari Al-Azhar Sedunia malam tadi.
Perjumpaan itu diharap membuahkan kejayaan sekali gus memartabatkan umat Islam hasil pemahaman manhaj Islam yang sebenar.
Program sambutan itu diadakan bersempena genap 1,083 tahun penubuhan Universiti Al-Azhar dan sambutan Hari Al-Azhar Sedunia di peringkat global.
(Al-Azhar kubu pertahanan akidah umat Islam)