KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap layanan hospitaliti yang diterima di Istanbul, Turkiye, sambil menyatakan sokongan penuh terhadap perjuangan membebaskan Palestin.
Aktivis Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Zulfadhli Khiruddin berkata, hubungan erat antara Malaysia dan Turkiye turut menyumbang kepada layanan mesra dan bantuan yang diberikan.
"Saya merasakan hospitaliti yang diberikan Turkiye adalah antara yang terbaik, hasil daripada hubungan baik antara kedua-dua negara. Ini adalah salah satu bentuk sokongan terbaik yang kami terima," katanya ketika ditemubual pemberita TRT Haber, Turkiye hari ini.
Bagaimanapun Zulfadhli memaklumkan, sepanjang penahanan di Israel, mereka menerima layanan buruk termasuk tidak diberikan minuman dan ubat-ubatan mencukupi.
Dalam pada itu, pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat ketika ditemubual Anadolu Agency merakamkan ucapan terima kasih kepada Turkiye atas bantuan dan sokongan yang disalurkan.
"Kami dari Malaysia amat menghargai layanan ini dan menyayangi anda semua. Teruskan usaha membebaskan Palestin, insya-Allah.
"Situasi yang berlaku amat menyedihkan. Israel bertindak zalim dan kami berdiri teguh dengan keputusan untuk memboikot Israel," katanya lagi.