fb fb fb fb fb

23 sukarelawan GSF Malaysia dijangka pulang Isnin ini

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim/RTM

SEPANG, 4 Oktober – Semua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka pulang ke tanah air seawal Isnin ini.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di sebuah hotel di Istanbul, Turkiye, sebelum berlepas pulang.

“Sebenarnya kita memang mengharapkan dan berhajat malam ini mereka terus terbang dan esok sampai ke Malaysia. Tapi rundingan ini bukan sesuatu yang mudah, ia dijalankan oleh Perdana Menteri menggunakan hubungan rapat beliau dengan Presiden Erdogan dan negara-negara besar,” katanya.

Datuk Dr. Sani turut berkata Kerajaan Turkiye telah berbesar hati menaja sepenuhnya penginapan hotel bagi kesemua sukarelawan tersebut.

“Jadi Kerajaan Turkiye sangat berbesar hati untuk memberikan tajaan penginapan hotel di Istanbul supaya keseluruhan mereka ini dapat segarkan diri, berehat sebelum pulang ke tanah air dalam keadaan mengukir senyuman serta membina semula semangat mereka,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di MAPIM Central Warehouse, hari ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa seramai 137 daripada 462 peserta flotila dari beberapa negara, termasuk Malaysia, telah dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye.

Dalam perkembangan lain, Sumud Nusantara kini sedang membuat persiapan untuk gelombang kedua konvoi besar-besaran yang akan menghantar bantuan melalui jalan darat sebaik sahaja gencatan senjata diumumkan kelak.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD