KUALA LUMPUR, 14 Jun – Akta Majlis Media Malaysia 2024 yang diluluskan pada Sidang Dewan Rakyat Februari lalu berkuat kuasa secara rasmi mulai hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pemilihan tarikh tersebut sebagai simbolik penghargaan kepada pengamal media dan industri kewartawanan tanah air.
“Saya telah menandatangani warta berkuat kuasa hari ini, bermaksud Ahli Majlis Media Malaysia mula berkuat kuasa pada 14 Jun 2025 sempena HAWANA 2025. Kita pilih hari ini sebagai simbolik mewartakan dan menguatkuasakan akta ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Kemuncak HAWANA 2025, di ibu negara hari ini.
Menurut beliau, seramai 12 orang ahli Lembaga Pengasas telah dimuktamadkan, merangkumi wakil daripada syarikat media, persatuan media, pengamal media bebas, dan ahli bukan media.
Datuk Fahmi menyifatkan, penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai reformasi paling besar dalam landskap media negara, sekali gus membuka ruang kepada dialog dan penyelesaian lebih bermakna untuk isu-isu melibatkan industri itu.
“Kita percaya ini adalah satu reformasi paling besar dan kita berharap ia paling bermakna buat rakan-rakan media. Banyak perkara yang selama ini ingin disuarakan kini boleh dibawa ke satu platform yang sah dan terbuka, tidak kira siapa yang menjadi kerajaan,” ujarnya.
Tambah beliau, satu sesi perbincangan bersama kesemua anggota Lembaga Pengasas akan diadakan dalam masa terdekat bagi merangka pelaksanaan seterusnya serta hala tuju Majlis Media Malaysia.