fb fb fb fb fb

Wajib sertai PLKN, tiada pelatih yang akan terlepas

Penyertaan PLKN diwajibkan dan tiada pelatih akan terlepas menyertai program tersebut.

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Tiada pelatih yang akan terlepas daripada mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) lebih-lebih jika alasan diberi tidak munasabah.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran menegaskan, mana-mana pelatih yang memohon penangguhan atas sebab tidak munasabah tetap diwajibkan menjalani latihan dalam siri akan datang.

Menurutnya, meskipun PLKN siri 3.0 menyasarkan kehadiran 550 pelatih namun hanya 444 pelatih sahaja yang hadir melaporkan diri setakat ini.

Sebahagian lagi tidak dapat hadir atas faktor kesihatan yang disahkan oleh pakar perubatan.

“Saya nasihatkan supaya yang mendapat tawaran, silalah datang. Kalau buat penangguhan dengan alasan yang tidak munasabah, tetap kena pergi.

"Kita sendiri akan pergi kepada mereka, bertemu...bersua muka dengan mereka dan jemput hadir ke dalam kem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Latihan Menembak Wiramuda Wanita Kem 515 Siri 2/2025 di Lapang Sasar Kem Sungai Besi, di sini hari ini.

Dalam program tersebut, pihak media turut diberikan kesempatan merasai pengalaman menembak menggunakan senapang jenis M16 dari jarak 25 meter.

Mengulas lanjut, Datuk Ya’cob berkata, sememangnya ada di antara pelatih terpaksa menarik diri daripada program latihan kerana mendapat surat tawaran menyambung pengajian.

"Terdapat pelatih yang menyambung pengajian dan menyertai PLKN terlebih dahulu sebelum mendaftar semula ke institusi pengajian.

“Bagi pelatih yang dapat tawaran kerja, kita benarkan mereka hadiri temu duga kemudian datang kembali semula jalani latihan,” ujarnya

Sebelum ini, JLKN telah memberi amaran kepada pelatih terpilih agar melapor diri selewat-lewatnya sebelum jam 12 tengah hari pada 16 Mei lalu.

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara, yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN