KUALA LUMPUR, 14 Jun – Diskaun 50 peratus tiket penerbangan AirAsia secara “sekali beri” pergi dan balik ditawarkan kepada semua pengamal media warganegara Malaysia, melibatkan lebih 57 destinasi di negara anggota ASEAN.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bersempena Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025, sebagai penghargaan kepada jasa pengamal media tanah air.
“Pengumuman ini khusus untuk semua pemegang Kad Perakuan Media yang sah. Tempoh tempahan dibuka mulai sekarang hingga 31 Disember 2025, manakala tempoh penerbangan adalah dari April hingga September 2026,” katanya semasa Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di ibu negara, hari ini.
Beliau memaklumkan, butiran dan mekanisme tempahan tiket akan diumumkan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) dalam masa terdekat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Fahmi turut memaklumkan sebuah pesawat AirAsia akan dinamakan sempena penghargaan kepada wartawan, hasil kerjasama syarikat penerbangan itu.
“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, memaklumkan kepada saya bahawa pihaknya bersedia menamakan sebuah kapal terbang atas nama wartawan.
"Kita akan bincangkan cadangan nama yang sesuai dan akan diadakan satu majlis rasmi untuk pelancarannya sebagai simbolik penghargaan kepada rakan-rakan media,” katanya.
Sehingga 4 Jun 2025, seramai 12,428 pengamal media aktif telah berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN). Daripada jumlah itu, 12,297 adalah warganegara Malaysia yang berkhidmat dalam pelbagai platform termasuk media cetak, penyiaran, digital dan portal berita dalam talian.