RANAU, 14 Jun - Kementerian Pendidikan akan memantau dari semasa ke semasa berkaitan kebajikan keluarga seorang remaja yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang ditahan reman selama tujuh hari selepas dipercayai menikam ibu dan abang kandungnya sehingga maut, pada Jumaat.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ada seorang lagi adik remaja itu yang masih hidup.
"Kita melaksanakan program sokongan kepada seorang lagi mangsa yang masih hidup dan cedera. Siasatan itu kita serahkan kepada pihak berkuasa. Cuma saya ambil pendekatan begini, kita melihat bahawa ada banyak spekulasi yang berlaku tetapi kita perlu bagi masa kepada keluarga ini.” katanya ketika ditemui RTM di sini.
Pesalah juvana itu ditahan reman sehingga Khamis depan bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut berpesan kepada semua pelajar yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar dapat memberi tumpuan pembelajaran bagi menghadapi peperiksaan tersebut pada hujung tahun ini.
"Kita juga mohon untuk ibu bapa memastikan anak-anak ini secara fizikal dan mentalnya juga disokong. Pastikan sihat, rehat yang cukup dan sokongan emosi yang cukup.” katanya.