fb fb fb fb fb

Akta berkaitan penubuhan Majlis Media Malaysia dilulus

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 21 Februari - Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah meluluskan pembentukan satu akta berkaitan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, proses pembentukan undang-undang berkaitan akan dibuat Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen pada Jun depan.

Katanya pekara itu mengambil masa yang agak lama sebelum ini, susulan proses libat urus bersama-sama Jawatankuasa Khas Protem dengan pemegang taruh.

Selain perubahan kerajaan pada 2020.

"Ini penting sebab secara sejahranya dasar pembentukan satu akta penggubalan Majlis Media Malaysia dimasukkan pada 2019, tetapi ada memandangkan ada perubahan kerajaan dan setelah terbentuk parlimen ke-15 dan kerajaan sekaranf kita kena ada penyelarasan perkara dasar," Fahmi menjelaskannya dalam sidang media Mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan di sini.

Dalam pada itu Fahmi memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) pada 28 Februari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu akan membincangkan perkara dasar mengenai penubuhan zon berkenaan, di samping menyelaras beberapa perkara berbangkit antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Johor bagi mempercepatkan proses penubuhannya.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, EXCO kerajaan negeri dan wakil Kementerian Pengangkutan (MoT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kewangan (MoF) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dijangka menghadiri mesyuarat itu.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perdana menteri telah menegaskan bahawa perlu ada suatu penyelarasan menyeluruh yang melibatkan agensi-agensi yang berkaitan di pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Ini merupakan salah satu usaha untuk ‘fast-track’ perbincangan mengenai Zon Ekonomi Khas (JSSEZ) ini dan ia diharap dapat menyelesaikan beberapa perkara, supaya zon ini dapat dipercepatkan penubuhannya,” katanya.

Pada 11 Januari lepas media melaporkan Malaysia dan Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman untuk menjayakan JSSEZ dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura, yang disaksikan Anwar dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

JSSEZ yang menyasarkan sektor elektronik, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan berkaitan perniagaan dan penjagaan kesihatan dijangka meningkatkan lagi perdagangan antara Johor dan Singapura, menambah baik ekosistem perniagaan Iskandar Malaysia dan Singapura serta boleh berkembang maju seperti bandar raya Shenzhen di China.

Sementara itu Fahmi berkata antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat khas itu termasuk melibatkan isu sempadan serta hal di bawah punca kuasa MoF.

Ditanya sama ada isu lokasi JSSEZ yang menyebabkan kelewatan penubuhan zon itu, katanya isu itu bukan faktor utama, sebaliknya penubuhan JSSEZ melibatkan beberapa perkara dasar yang perlu diputuskan secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Itulah sebab kenapa mesyuarat tertinggi akan diadakan pada kadar segera, iaitu dalam tempoh lebih kurang seminggu dari sekarang. Jadi di situ akan diputuskan beberapa perkara dasar, kemudian akan dibawa ke Jemaah Menteri semula,” katanya.

Tahun lepas, Johor meraih pelaburan asing bernilai RM70.6 bilion dalam pelbagai sektor. Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar di negeri itu, menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing Johor dalam sektor pembuatan.

TETITIA YUSOFF