fb fb fb fb fb

Tun Abdul Taib abadikan kehidupan untuk menyejahterakan Sarawak

Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud

KUALA LUMPUR, 21 Februari- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan jasa Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud amat besar kepada Sarawak selain telah mengabadikan sepanjang perjalanan hidupnya untuk membangun dan menyejahterakan negeri itu.

Nancy juga mendedahkan Allahyarham merupakan insan pertama mengajar beliau menyertai bidang politik sekitar tahun 2008.

"Semasa menjadi Ketua Menteri, sayap wanita PBB telah diberi peluang buat pertama kali untuk bertanding dalam pilihan raya kerana menegaskan wanita perlu menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan di peringkat negeri dan negara.

"Saya adalah antara wanita yang dilatih oleh beliau, sebab itu kami amat bersedih dengan pemergian Allahyarham," kata Nancy.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Allahyarham juga seorang yang pemurah dan prihatin terhadap nasib rakyat selain tegas sebagai pemimpin.

"Sebagai contoh, saya tidak pernah meminta apa-apa (bantuan) daripada Tun (Abdul Taib) tetapi hati saya sangat tersentuh kerana pada tahun terakhir beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak, beliau ada bertanyakan kepada saya jika ada perkara-perkara yang boleh dibantu di kawasan (Kapit).

"Saya kemukakan (permohonan), kemudian beliau meluluskan permohonan saya untuk mendapatkan sebidang tanah untuk dibangunkan. Jadi itulah maksud saya mengenai sifat sebenar Allahyarham. Beliau tidak lupa mereka yang berada di sekelilingnya," katanya dalam Program Reaksi terbitan Bernama Radio hari ini.

Nanta juga pernah menjadi Setiausaha Politiknya selama tujuh tahun berkata Allahyarham juga banyak mendidik wakil rakyat seperti beliau yang baru berjinak-jinak dalam bidang tersebut.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, apa yang dinikmati Sarawak hari ini adalah asas yang ditanam Allahyarham dalam memastikan Sarawak membangun hingga kini.

"Saya rasa pengorbanan dan sumbangan beliau kepada Sarawak amat besar sepanjang menjadi Ketua Menteri Sarawak," katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah pula menyifatkan Allahyarham pemimpin yang telah meletakkan asas kukuh perpaduan dalam kepelbagaian di Sarawak.

Kehilangan negarawan dan pemimpin ulung negara ini akan dirasai kerana Allahyarham merupakan tokoh pembangunan fizikal serta insaniah termasuk teguh memperkasa wanita.

Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2013-2018 yang kini Pengerusi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula berkata Allahyarham adalah pemimpin ulung Sarawak yang bukan sahaja sentiasa membuka peluang untuk wanita menceburi diri dalam politik tetapi mendidik sendiri pemimpin wanita terlibat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI