fb fb fb fb fb

Pemerkasaan perundangan syariah sedang dilaksana secara sistematik

Dr. Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 21 Februari- Pemerkasaan perundangan syariah di negara ini sedang dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh termasuk beberapa rang undang-undang lain kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan semasa sesi libat urus yang dilakukan oleh Bahagian Udang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai cadangan membentangkan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

"Pemerkasaan perundangan syariah ini telah pun dilaksanakan dan ianya berlaku begitu sistematik dan teratur mungkin buat pertama kalinya kerajaan melaksanakan usaha-usaha tersebut dan bertindak secara menyeluruh bukan sahaja RUU 355.

"Kita juga akan membawa beberapa rang undang-undang yang lain rang undang-undang mufti juga pindaan kepada rang undang-undang akta 505 dan ada beberapa yang lain kita akan bergerak secara menyeluruh bukan sahaja 355," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama hampir 30 badan bukan kerajaan (NGO) wanita Islam di pejabatnya di sini.

Tambahnya, kerajaan komited untuk meningkatkan lagi pengetahuan, kemahiran dan kapasiti Mahkamah Syariah dengan menubuhkan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia yang masih dalam peringkat perbincangan.

Semasa pertemuan itu aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) wanita Islam dicadangkan untuk diselaras. Perkara itu bagi meraih keberkesanan berimpak tinggi, mewujudkan nilai-nilai kebersamaan dan keharmonian.

Zulkifli berkata Majlis Wanita Islam Malaysia (MAWIM) bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan menjadi penaung kepada gerakan wanita Islam Malaysia dan dibantu oleh Sekretariat MADANI JAKIM untuk memastikan aktiviti-aktiviti NGO dapat diselaras.

"Kita telah bersetuju tadi bahawa MAWIM akan menjadi penaung kepada gerakan wanita Islam Malaysia selepas ini. Kita juga bersetuju untuk membantu dari aspek teknikal bagi memastikan NGO Islam mempunyai sokongan daripada pelbagai aspek.

"Perkara itu bagi memudahkan gerakan kita dan kita juga bekerjasama dengan sekretariat MADANI JAKIM yang menjadi penyelaras dan koordinator," katanya selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam bersama 30 NGO wanita Islam di pejabatnya di sini.

Naratif gerakan wanita Islam Malaysia turut dibincangkan selain mendengar pelbagai idea bernas dan cadangan daripada wakil NGO yang hadir berkaitan dengan aktiviti khusus untuk wanita.

Antara NGO yang hadir dalam pertemuan itu ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pergerakan Puteri Islam Malaysia, Wanita IKRAM dan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI