PUTRAJAYA, 22 Ogos- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti untuk mengkaji semula Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang-Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7) bagi memberi peluang kedua kepada individu yang tersenarai di bawah akta berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penelitian ini melibatkan individu pelbagai kategori, antaranya golongan yang pernah disiasat dalam kes jenayah, namun tidak didakwa.
Selain itu, mereka yang dihukum atas suatu kesalahan jenayah serta mereka yang ditahan mengikut undang-undang pencegahan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bukan semua individu boleh dibersihkan daripada senarai di bawah akta terbabit.
Ia bertujuan memberi peluang kepada golongan tersebut membina hidup baharu terutama dalam mencari pekerjaan ataupun memulakan perniagaan.
"Kami akan menganalisis secara terperinci angka ini. Kami akan pecahkan mengikut kategori mereka menjadi punca dimasukkan sebagai dalam rekod jenayah atau orang tidak diingini, dimana perkara yang kita boleh untuk mempermudahkan mereka untuk rekod dibersihkan melalui proses yang mematuhi semua aspek perundangan.
"... Kami ke arah itu, sama ada akta digubal ataupun menteri gunapakai seksyen dalam akta itu yang membenarkan kita membuat peraturan", katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN dan sambutan Bulan Kebangsaan di Putrajaya.
Sementara itu, satu Persidangan Keselamatan akan diadakan pada September depan bagi membincangkan isu-isu keselamatan terutama melibatkan ancaman jenayah.
Saifuddin berkata, persidangan tersebut melibatkan lebih 800 peserta dengan hampir 27 pembentang yang akan menyentuh mengenai topik keselamatan seperti jenayah rentas sempadan, pendatang asing tanpa izin, narkotik, jenayah siber, penipuan kewangan (financial scam) dan sebagainya.
"Kenapa buat persidangan? Macam saya cakap tadi, zaman berubah, jenayah juga berubah. Kementerian Dalam Negeri harus bergerak seiring pergerakan itu.
"Jadi persidangan ini nanti, KDN akan bentangkan cadangan kami, dalam soal keselamatan negara kita boleh susun ikut keutamaan yang hasilnya seluruh sumber kita dapat kita berikan keutamaan kepada memerangi topik jenayah yang akan kami angkat.
Persidangan tersebut turut melibatkan semua sektor ahli akademik, pakar perundangan serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan.
Dalam pada itu, menjelang Kepengerusian ASEAN tahun hadapan, isu keselamatan menjadi keutamaan KDN dalam acara berkenaan.
Saifuddin berkata, ketika ini beberapa siri libat urus telah dilaksanakan bagi tujuan tersebut.
"Jadi dari sudut persiapan, semuanya mengikut perancangan kita. Ini termasuk kita akan mempengerusikan mesyuarat peringkat menteri sebanyak lima mesyuarat bermula Januari tahun depan sehingga hujung tahun, peringkat pegawai kanan dan pegawai.
"KDN akan mempengerusikan puluhan mesyuarat sepanjang tahun", katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN dan sambutan Bulan Kebangsaan di Putrajaya.