SEPANG, 10 Sept – Pasukan Penguat Kuasa Farmasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai lebih RM17,000 melalui Pos Malaysia International Hub (PMIH), KLIA, semalam.
AKPS dalam satu kenyataan mendedahkan, dalam pemeriksaan sekitar pukul 11 pagi itu, sebuah bungkusan mencurigakan dari Kemboja yang dialamatkan kepada seorang individu di Klang, Selangor.
"Bungkusan dikesan mempunyai 3,420 biji ubat-ubatan tidak berdaftar dipercayai mengandungi bahan psikotropik yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
Antara rampasan termasuk 3,000 biji tablet Alprazolam 0.5mg atau Xanax bernilai RM15,000 dan 420 biji tablet Zolpidem 10mg atau Stilnox bernilai RM2,100," ujar kenyataan itu.
Cubaan pengimportan ini merupakan kesalahan serius di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta melanggar Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989, yang boleh dihukum di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.
"Ubat-ubatan tidak berdaftar yang tidak melalui kawalan kualiti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh memberi kesan sampingan berbahaya dan mengancam nyawa pengguna.
Semua ubat yang dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan," menurut kenyataan itu lagi.
Pihak berkuasa tiada kompromi terhadap sebarang cubaan penyeludupan ubat haram yang boleh menggugat keselamatan serta kesihatan awam.