PUTRAJAYA, 10 Sept - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan individu yang terbabit dalam kartel tender serta pembekalan diesel secara mencurigakan di Sarawak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, maklumat lanjut berhubung kes berkenaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
"Ada satu operasi yang kita jalankan di Sibu melibatkan penyeludupan diesel. Tetapi saya embargo dulu dan akan buat sidang media dalam tempoh terdekat minggu hadapan. Biar siasatan dilakukan dahulu kerana kes ini agak besar," ujar beliau selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Wisma Ungku A Aziz, pagi tadi.
Media melaporkan, rangkaian sindiket terbabit dipercayai membayar suapan kepada seseorang di dalam organisasi sebagai balasan untuk memperoleh kontrak atau tender pembekalan minyak diesel di sekitar negeri terbabit.
Hasil daripada pemberian itu, sindiket berjaya memperoleh tender serta kontrak pembekalan diesel komersial kepada kepada salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.