SUBANG, 10 September - Sepuluh pegawai daripada Pasukan Pemerhati Interim (IOT) berlepas ke Kemboja hari ini bagi menjalankan misi memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara negara itu dan Thailand.
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Zahani Zainal Abidin berkata, pasukan berkenaan diketuai Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Asri Shukor dari Tentera Darat Malaysia.
Turut menyertai pasukan itu ialah lima pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mewakili ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, udara dan laut, selain dua pegawai tentera masing-masing dari Indonesia dan Filipina.
“IOT yang ditubuhkan ini adalah atas jemputan daripada Kemboja, dan rundingan masih diteruskan antara kedua-dua negara.
“Sehingga penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN yang menjadi sasaran akhir seperti dipersetujui semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee) pada 28 Julai 2025, Malaysia telah diberi mandat sebagai lead nation untuk menyelaras pelaksanaan misi ini dengan penglibatan empat lagi negara iaitu Brunei, Singapura, Filipina dan Indonesia,” katanya pada sidang media Majlis Penghantaran IOT di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan, pasukan tersebut akan ditempatkan di dua lokasi strategik di Kemboja, iaitu di Preah Vihear dan Banteay Meanchey, kira-kira 40 kilometer dari kawasan sempadan yang terlibat dalam konflik dengan Thailand.
Mereka akan menjalankan rondaan harian dan mingguan bagi memastikan pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata.
Datuk Zahani menyifatkan kecekapan ATM dalam mengatur gerak pasukan pemerhati dengan segera mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme yang tinggi, setanding piawaian pasukan pemantau antarabangsa.