
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) terus mempergiat usaha memperkukuh penghayatan nilai Malaysia MADANI melalui kerjasama strategik bersama Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM) menerusi pelbagai program kemasyarakatan yang menyasarkan komuniti akar umbi.
- Kolaborasi AKM dengan PSBM jadi medium penting menyemai semangat perpaduan, keharmonian dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat.
- PSBM melaksanakan 547 program kebajikan dan bantuan kemanusiaan sejak penubuhan pada 2021.
- Bantuan PSBM menyentuh pelbagai kaum dan agama termasuk semasa bencana, mencerminkan peranan aktif NGO dalam kesejahteraan rakyat.
- PSBM merancang latihan intensif tiga hari dua malam untuk memperkukuh motivasi dan pembangunan kapasiti ahli, disokong Pejabat Perdana Menteri dan AKM.
Pengarah AKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Faizal Iqram Ibeni Yanin berkata, kolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menjadi medium penting dalam usaha menyemai semangat perpaduan, keharmonian serta tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
“Yang penting adalah usaha mendekati masyarakat, membawa agenda pembangunan negara serta mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat,” katanya selepas merasmikan sambutan ulang tahun kelima PSBM di Dewan Persatuan Kebajikan Am Gombak, di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden PSBM, Datuk Seri Ramly Mat Daly memaklumkan pertubuhan berkenaan telah melaksanakan sebanyak 547 program kebajikan dan bantuan kemanusiaan sejak penubuhannya pada 2021.
Katanya, bantuan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama termasuk ketika bencana serta dalam situasi aman, sekali gus mencerminkan peranan aktif NGO dalam menyokong usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat.
“PSBM kini mempunyai hampir 700 ahli serta jaringan sukarelawan di peringkat serantau termasuk Singapura, Indonesia, Kemboja dan Thailand,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya merancang menganjurkan program latihan intensif selama tiga hari dua malam dalam masa terdekat bagi memperkukuh aspek motivasi dan pembangunan kapasiti ahli, dengan sokongan Pejabat Perdana Menteri dan AKM.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sijil serta plak penghargaan kepada wira negara melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia dan pesara Polis Diraja Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.