PUTRAJAYA, 8 Februari - Orang ramai dinasihatkan agar menjadi warga digital yang beretika dan berintegriti dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata setiap pihak memainkan peranan penting untuk membina komuniti digital yang berdaya tahan serta berupaya bertindak secara berilmu, adil dan progresif ke arah kesejahteraan siber.
"Evolusi teknoligi digital sememangnya membantu serta memudahkan urusan, namun, kita hendaklah sentiasa bersiap siaga dalam mendepani ancaman dan serangan siber yang semakin berleluasa.
"Keruntuhan moral, akhlak dan nilai murni dalam komuniti Keluarga Malaysia juga semakin meruncing akibat daripada kealpaan individu tersebut," katanya melalui satu kenyataan media, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi perkongsian Facebooknya berkata, kemajuan teknologi membawa masyarakat kepada penggunaan peralatan teknologi digital secara meluas sehingga ada kalangan masyarakat alpa dalam menjaga adab serta etika di dunia siber.
Hari Keselamatan Internet 2022 kali ini memberi penekanan kepada langkah-langkah membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia yang sejahtera lagi progresif.
Lebih 200 buah negara meraikan sambutan ini dengan objektif mendidik serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan Internet agar mereka menjadi lebih beretika dan bertanggungjawab sewaktu menggunakan teknologi, Internet dan aplikasinya serta peranti digital.